Faktor Dalaman
Faktor Luaran
Masalah dalam Membaca
Membaca adalah aktiviti yang penting dalam kehidupan
manusia dan kemahiran ini merupakan asas pembentukan diri ke arah mendapatkan
ilmu pengetahuan. Proses membaca yang kompleks ini bergantung kepada komponen
membaca perkataan tunggal dan komponen pemahaman (Yahya Othman, 2003). Masalah
paling utama yang dihadapi oleh seseorang yang sedang mula membaca adalah
masalah dalam komponen membaca perkataan secara tunggal. Kemahiran mengeja
perkataan berkait rapat dengan kemahiran membaca perkataan. Hasil kajian yang
lepas telah menunjukkan bahawa proses kognitif yang mendasari kedua-dua
kemahiran membaca perkataan dan kemahiran mengeja adalah hampir sama. Oleh
sebab perkaitan yang rapat antara kemahiran membaca perkataan tunggal dan kemahiran
mengeja, maka adalah tidak hairan jika para pelajar bermasalah dalam proses
bacaan mereka.
Kemahiran membaca merupakan asas untuk memahami proses pembelajaran yang lebih kompleks. Proses membaca memerlukan urutan atau rentetan yang berulang-ulang begi memastikan para pelajar dapat memahami apa yang sedang mereka bacakan serta menguasai proses bacaan tersebut. Kebiasaanya masalah dalam proses membaca ini banyak dihadapi oleh pelajar di peringkat sekolah rendah. Namun demikian, terdapat juga segelintir pelajar di sekolah menengah tidak pandai membaca. Hal ini amat membimbangkan kerana jika meraka tamat persekolahan tanpa menguasai kemahiran membaca dikuathiri mereka menghadapi kesukaran dalam persaingan hidup dan untuk mendapatkan pekerjaan. Permasalahan dalam proses pembelajaran ini membabitkan pelbagai faktor antaranya ialah faktor dalaman dan faktor luaran yang saling berkaitan. Pelbagai faktor yang telah menyebabkan timbulnya masalah kesukaran untuk para pelajar membaca. Antaranya ialah faktor dalaman yang menyumbang kepada masalah ini.
FAKTOR DALAMAN
Faktor individu.
Bagi
menentukan masalah dalaman pelajar yang sukar untuk membaca, kemahiran kognitif
para pelajar juga perlu untuk diambil kira. Hal ini adalah kerana, setiap
pelajar mempunyai kemahiran kognitif yang berbeza-beza walaupun umur mereka
sebaya. Oleh sebab itu, kegagalan proses pembelajaran untuk mengajar mereka
cara membaca juga mempunyai hubung-kait dengan kemahiran kognitif setiap
pelajar tersebut. Cara pembelajaran antara seorang kanak-kanak dengan seorang
remaja juga berbeza. Pemikiran seorang remaja telah kompleks dan mampu untuk
menerima banyak ilmu dalam satu-satu masa berbeza dengan cara pemikiran seorang
kanak-kanak yang lebih terhad dan hanya mampu untuk memahami apa yang dilihat oleh
mata kasar mereka sahaja (Suppiah Nachaiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd.
Aziz Abd. Ahukor, Ramlah Jantan, Roslinda Mustapha, Hazalizah Hamzah, 2009).
Namun
demikian, masalah ketidakbolehan untuk membaca ini timbul apabila seorang
pelajar itu tidak dapat untuk memahami apa yang telah diajarkan kepada mereka
semenjak mereka kanak-kanak lagi sehingga meningkat dewasa dan menyebabkan
masalah keciciran dalam pembacaan. Masalah ini berpunca daripada kemahiran
kognitif pelajar tersebut yang lemah. Bagi mengatasi masalah ini, guru perlu
memberi perhatian yang lebih kepada para pelajar yang lemah bagi mengelakkan
mereka keciciran dalam pembelajaran mereka. Ketidakbolehan untuk mentafsir
simbol dan huruf untuk diterjemahkan dalam ayat atau perkataan secara lisan.
Menurut
Abdul Rasid dan Zulkafli (2008), masalah menguasai kemahiran membaca dan
menulis menjadikan murid lemah dan tidak berminat dalam proses pembelajaran
adalah akibat ketidakcekapan mereka menguasainya isi pembelajaran yang telah
diajar oleh guru. Permasalahan membaca yang ada dalam diri murid adalah seperti
keliru mengecam huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak dapat
membunyikan perkataan dengan betul dan tepat, tidak dapat menyebut perkataan
yang dieja serta sering meninggalkan perkataan yang tidak ketahui makna atau
gagal membunyikannya. Masalah ketidakbolehan mentafsir simbol atau huruf untuk
diterjemahkan akan menimbulkan pola bacaan yang merangkak-rangkak dan pastinya
menjadikan murid-murid tidak memahami maklumat dan makna bahan bacaan tersebut.
Selain daripada itu, murid ini juga lemah dan tidak berminat mencari maklumat
yang terdapat dalam gambarajah atau bahan rangsangan yang diberikan oleh guru.
Menurut Yahya Othman (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks
dengan imaginasi pembaca. Oleh sebab itu, pemahaman para pelajar mengenai teks
dan gambarajah yang dilihat oleh mereka mampu untuk menarik minat mereka
membaca tetapi jika mereka tidak dapat memehami apa yang dibaca oleh mereka
akan menimbulkan rasa bosan mereka untuk terus membaca.
Faktor psikologi
Tahap
kecerdasan dan psikologi yang pelbagai dalam kalangan murid disebabkan oleh
faktor genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan sebagainya yang
berkecenderungan menimbulkan permasalahan untuk mempelajari dan mengingati
sesuatu yang diajar oleh guru. Selain daripada itu, tahap kesihatan serta
gangguan emosi sering menjadi punca masalah dalam proses pembelajaran. Murid
yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi
seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi yang pastinya
menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap proses pembacaan (Zulkifley Hamid,
2006).
Minat dan
motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat
yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami dan
memahami proses pembacaannya. Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu
faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan pelajar.
Sikap kurang minat membaca pada dirinya adalah berpunca daripada kegagalannya
untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik. Selain daripada itu juga,
masalah kurang rangsangan daripada luar juga menyebabkan para pelajar
bermasalah dalam proses membaca. Hal ini adalah kerana, kekurangan perhatian daripada
guru akan menyebabkan pelajar tersebut akan keciciran dalam proses pembacaan.
Mudah
hilang tumpuan dan lemah daya ingatan.
Masalah
dalaman yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembacaan juga berkait dengan
masalah mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan. Hal ini adalah kerana
peroses pembacaan memerlukan para pelajar untuk mengigati huruf dan bunyi bagi
setiap huruf-huruf tersebut. Jika mereka bermasalah untuk mengigati setiap
huruf tersebut maka proses pembacaan akan menghadapi masalah seperti membaca
merangkak-rangkak dan tersangkut-sangkut. Bagi mengatasi masalah pelajra yang
lemah dalam proses pembacaan ini satu proses pemulihan telah dijalankan. Para
pelajar yang lemah dalam bacaan mereka akan diasingkan dengan pelajar yang
lebih cepat dalam membaca.
Menurut
Rajesvari a/p Ramasamy (2008). beliau telah menyatakan antara permasalahan yang
dihadapi oleh pelajar pemulihan ini ialah mudah lupa perkataan yang dibaca.
Daya ingatan mereka sangat singkat dan cepat melupakan perkara yang telah dipelajari
oleh mereka. Oleh sebab itu, mereka perlu diberi peluang membaca perkataan yang
sama berulang kali dalam aktiviti latih tubi. Ramai kanak-kanak pemulihan juga
mengalami masalah dalam pengamatan. Mereka kurang mahir mengecam bentuk
perkataan yang dibaca. Masalah ini mungkin disebabkan mereka sukar memberi
tumpuan atau perhatian.
FAKTOR LUARAN
Selain masalah dalaman, masalah luaran merupakan
antara penyumbang besar kepada masalah tidak boleh membaca. Beberapa faktor
yang dikenalpasti menjadi punca.
Pengajaran guru
Menurut
kajian yang dijalankan oleh Tamam Timbang, Zamri Mahamod dan Afendi Hamad yang
dimuatkan dalam jurnal pendidikan bahasa Melayu 1987, menyatakan masalah
pengajaran berlaku kerana guru yang mengajar membaca itu kurang pengalaman, kaedah
mengajar yang kurang berkesan dan tiada keadah khusus yang berkesan untuk
mengajar membaca. Guru-guru yang mengajar membaca biasanya hanya menekankan
pelajar untuk mengenal huruf. Kaedah untuk mengenal suku kata selalu lambat
untuk diajarkan menyebabkan pelajar mudah bosan untuk belajar membaca. Guru
sebenarnya mengalami masalah untuk mengajar membaca kerana tiada satu kaedah
khusus untuk mengajar seseorang pelajar untuk membaca bahkan setiap pelajar
menguasai teknik membaca melalui kaedah yang berbeza. Untuk mengatasi masalah
membaca ini,seseorang guru perlu mewujudkan satu suasana pembelajaran yang
aktif ( Mahzan Arshad:2003 ). Seseorang guru perlu memikirkan bagaimana cara
yang kondusif pembelajaran literasi dilakukan didalam kelas seperti menggunakan
peta minda atau gabungan kotak.
Faktor persekitaran
Selain faktor guru tersebut, faktor persekitaran
juga memainkan peranan penting dalam melahirkan seseorang yang mempunyai
kemahiran membaca. Menurut ahli sosiologi,kecerdasan bukanlah sesuatu yang diwarisi
tetapi kecerdasan itu bergantung kepada faktor persekitaran ( Abdullah
Sani Yahya : 2004 ). Faktor persekitaran yang memainkan peranan penting dalam
pembentukan kemahiran literasi ialah guru,ibu bapa dan juga kawan-kawan. Guru
sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian pelajar
terutamanya semasa berada di sekolah. Jika seseorang guru itu bijak untuk
mengendalikan pelajar dalam pembelajaran membaca nescaya pelajar tersebut tentu
akan mudah untuk menguasai pembacaan. Seseorang guru juga perlu memastikan
seseorang pelajar itu dapat menguasai kemahiran membaca semasa di tahap
pra-sekolah atau selebihnya darjah satu. Keluarga juga memainkan peranan
penting.Keluarga merupakan role model utama bagi anak-anak. Ibu bapa berperanan
untuk mewujudkan suasana yang merangsang pembacaan anak-anak mereka ( Yahya
Othman:2004 ). Malangnya di negara kita,suasana yang merangsang pembacaan dalam
kalangan anak-anak biasanya hanya berlaku dalam keluarga yang mempunyai status.
Keadaan kawan
Keadaan
kawan turut mempengaruhi pelajar dalam kemahiran membaca. Selain ibu bapa dan
guru,kawan merupakan faktor yang penting dalam menentukan kebolehbacaan
pelajar. Jika seseorang pelajar itu berkawan dengan kawan yang malas dan tidak
tahu membaca,semestinya pelajar tersebut akan mengalami masalah membaca
sebagaimana dengan kawannya. Contoh jelas dapat kita perhatikan ialah,pelajar
di sekolah yang berprestij biasanya akan mudah untuk menguasai kemahiran
membaca kerana persekitaran kawan yang merangsang pelajar tersebut untuk
melakukan aktiviti pembacaan. Sebagai contoh lagi,sekolah orang asli mempunyai
kadar buta huruf yang tinggi kerana kawan-kawan di sekolah ini kebanyakan tidak
mampu untuk mengusai kemahiran literasi dengan baik.
Teks
Teks yang digunakan disekolah juga memainkan
peranan untuk menarik minat pelajar untuk membaca. Jika sasaran pembaca adalah
kanak-kanak,sepatutnya buku teks yang digunakan mempunyai gambar kartun yang
boleh menarik minat kanak-kanak tersebut untuk membaca. Teks yang tidak
mempunyai gambar sama sekali tidak akan menarik perhatian kanak-kanak untuk
membaca. Teks yang menggunakan bahasa yang tinggi sehingga perlu berfikir untuk
memahaminya adalah tidak sesuai untuk digunakan untuk pelajar yang baru
membaca. Isi kandungan perlulah melihat kepada tahap sasaran tersebut.
Melahirkan semangat ingin membaca adalah amat penting untuk seseorang pelajar
mula belajar untuk membaca.
Masa pengajaran
Selain faktor yang telah disebutkan,masa
pengajaran juga memainkan peranan penting. Kebanyakan sekolah misalnya,tidak
berapa menitik beratkan masalah ini sehingga menyebabkan pelajar tidak
mencukupi masa untuk belajar membaca. Sepatutnya,masa untuk belajar membaca
perlu ditekankan dan dilanjutkan masanya kerana jika seorang pelajar tidak
mampu untuk menguasai kemahiran membaca semestinya akan mendatangkan kesan yang
buruk kepada dirinya dimasa depan seperti tidak akan lulus peperiksaan sehingga
boleh menjejaskan masa depan pelajar tersebut. Oleh itu,pihak sekolah
terutamanya perlu melihat masa pengajaran membaca ini sebagai isu penting
sehingga menyebabkan masalah membaca berlaku kepada pelajar di
sekolahnya.
No comments:
Post a Comment