Tuesday, 14 May 2013

Penafsiran Formal (Kerja Berpasangan)




1.0              Pengenalan
Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah dapat diukur dengan melihat kepada pencapaian yang diperolehi oleh murid-muird. Oleh itu, pencapaian dapat diukur dengan pelaksanaan penilaian dan penafsiran terhadap murid-murid oleh guru. Menurut Stufflebeam et al. (1971), penilaian ialah the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives. Selain itu, Terry D. Tenbrink (1974: 8) pula menyatakan bahawa penilaian adalah satu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan. Oleh itu, pertimbangan menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan kurikulum. Melalui semua pendapat yang telah dikemukakan tersebut, dapat dirumuskan bahawa penilaian merupakan satu proses memperolehi maklumat kuantitatif bagi menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai pencapaian murid-murid.
Penaksiran pula merupakan satu proses mentaksir perubahan tingkah laku berdasarkan data kuantitatif dan kualitatif. Terdapat juga pendapat yang mengatakan penafsiran sebagai satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Lazimnya, seseorang guru yang membuat pentaksiran tentang pencapaian murid adalah untuk tujuan pemulihan dan penggredan setiap pelajar. Pemulihan dan penggredan setiap pelajar merangkumi aktiviti mengumpul, merekod, memberi skor, menginterpretasi, menghurai maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan. Hal ini demikian kerana, tahap pencapaian bagi setiap murid adalah berbeza antara satu sama lain. Kebiasaannya, alat pengukuran yang digunakan oleh guru terdiri daripada pelaksanaan ujian, soal selidik, senarai semak, inventori dan membuat keputusan. Oleh itu, pentaksiran boleh dijalankan sebelum, semasa dan selepas pengajaran kepada murid-murid.
Penafsiran formal sememangnya merupakan salah satu penilaian dan penafsiran yang digunakan untuk menilai tahap pencapaian seseorang murid. Penafsiran formal terbahagi kepada dua bahagian, iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Kedua-dua penilaian tersebut boleh digunakan di sekolah bagi menentukan tahap pencapaian seseorang murid dengan (P&P) yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Oleh itu terdapat juga beberapa sebab pengunaan penilaian dan penafsiran di sekolah terutamanya berkaitan dengan membaca dalam kalangan murid.

2.0       Penafsiran Formal
Menurut Hanna Gerald S dan Dettmer Peggy A (2004), penafsiran secara formal ialah penafsiran yang dilaksanakan secara formal atau rasmi. Kebiasaannya, penafsiran formal melibatkan suatu prosedur atau tatacara yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh semua calon iaitu murid-murid. Penafsiran formal juga merupakan penilaian yang dirancang atau dibina berasaskan peraturan atau tatacara yang telah ditetapkan. Malahan setiap kurikulum yang menjadi dasar kursus akan diteliti serta dikaji terlebih dahulu untuk menentukan apakah jenis, bentuk dan bagaimana setiap penilaian akan dilaksanakan terhadap murid-murid di sekolah. Oleh itu terdapat dua jenis penafsiran secara formal di sekolah antaranya adalah seperti berikut:
2.1                   Penilaian Formatif
Menurut Ee Ah Meng (1998), penilaian formatif ialah penilaian yang melibatkan penggunaan ujian untuk mengukur kemajuan murid-murid setelah mereka mencapai hasil pembelajaran tentang sesuatu unit pembelajaran atau satu bab dalam bab pembelajaran yang berkaitan. Antara contoh penilaian yang berbentuk penilaian formatif ialah Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dikuatkuasakan di setiap sekolah agar dilaksanakan mulai tahun ini.
Ciri-ciri penilaian formatif ialah menjalankan ujian untuk melihat pencapaian murid dalam sesuatu bab belajaran mengikut tingkatan masing-masing. Oleh itu, ujian sedemikian bersifat formatif kerana ada unsur pembentukan semula selepas pelaksanaan sesuatu ujian yang telah dijalankan oleh guru kepada murid-murid. Hasil yang diperolehi daripada ujian yang dijalankan akan digunakan untuk memperbaiki pembelajaran dan bukan untuk memberi gred setiap murid. Jelas dapat dilihat bahawa objektif utama adalah untuk mengesan kejayaan dan kegagalan bagi setiap murid sahaja. Oleh itu, bagi meningkatkan pencapaian setiap murid, penilaian tersebut akan dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Oleh itu, guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Guru juga boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.

            2.2       Penilaian Sumatif
Menurut Ea Ah Meng (1998), penilaian sumatif ialah penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu kursus atau tahun. Oleh itu, penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir tahun atau pada akhir semester. Penilaian ini yang akan memberikan nilai yang dapat membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan untuk jurusan yang akan diambil apabila memasuki tingkatan 4. Oleh hal demikian, penilaian sumatif merupakan penilaian secara berpusat, iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM biasanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Keputusan penilaian pula akan secara berpusat yang dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara. Oleh itu, objektif pelaksanaan penilaian di Sekolah (Formatif dan Sumatif) ialah untuk mengesan perkembangan murid secara menyeluruh. Selain itu, pelaksanaan penilaian ini juga dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran lebih awal dari semasa ke semasa selain daripada mengetahui keberkesanan pengajaran guru. Berdasarkan kepada keputusan yang diperolehi murid-murid tersebut guru boleh merancang dan mengubah suai pengajaran dan menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta.
Lazimnya, proses pengukuhan, pemulihan, dan pengayaan akan dilaksanakan selepas proses penilaian dilakukan terhadap murid-murid. Jelaslah dapat dilihat bahawa proses penilaian ini penting untuk mengesan pengarahan dan pembelajaran sama ada berjaya ataupun tidak. Oleh itu, suatu penilaian akan dibuat pada akhir sesi pengajaran manakala isi kandungan pula akan menentukan langkah yang bagaimana dan corak pengajaran yang ingin diajarkan dalam bilik darjah. Hasil pembelajaran akan ditentukan bagi persediaan perancangan pengajaran oleh guru-guru. Maka, kepentingan penilaian dalam sistem pengajaran akan terancang secara bersepadu. Perancangan pengajaran merangkumi penentuan objektif pembelajaran, hasil pembelajaran penilaian dan pembikinan penentuan isi kandungan, penentuan kaedah dan teknik proses pengajaran. Oleh itu, dapat dilihat hubungan penilaian dalam teknik pengajaran bersistematik prosesnya.


3.0              Tujuan Pelaksanaan Penafsiran Formal
Pelaksanaan penafsiran formal telah lama dilaksanakan di sekolah di Malaysia. Hal ini demikian kerana bagi menilai prestasi murid-murid dari masa ke masa. Oleh itu, terdapat beberapa sebab dan tujuan pelaksanaan tersebut antaranya adalah bagi menentukan setakat mana pencapaian seseorang murid secara dignostik. Ujian diagnostik dijalankan bagi menentukan punca masalah pembelajaran murid-murid terutamanya berkaitan dengan membaca. Sekiranya guru melaksanakan ujian diagnostik terhadap murid-murid dapatlah guru-guru menentukan strategi pengajaran pemulihan yang perlu digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Selain itu, tujuan pelaksanaan penafsiran formal juga dapat menempatkan murid-murid di sekolah. Hal ini demikian kerana, penafsiran tersebut dapat menjalankan ujian penempatan untuk menentukan kemahiran dan penguasaan sedia ada pada pelajar sebelum pengajaran bermula. Oleh itu, guru-guru dapat menentukan aras bahan pelajaran yang sesuai untuk digunakan semasa (P&P) di dalam bilik darjah.
Selain daripada itu semua, penilaian juga akan membantu memotivasikan murid untuk terus belajar untuk mencapai kejayaan yang mereka hendaki. Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam penilaian sumatif dan penilaian di peringkat pusat, iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM. Selain itu, daripada pelaksanaan penafsiran formal tersebut juga murid dapat meningkatkan aspek kognitif (pemikiran), afektif (perasaan) dan tingkah laku moral dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, bagi murid yang telah mempunyai kekuatan untuk menguasai sesuatu nilai dan tindakan secara bermoral mereka dapat diperkukuhkan dan diperkayakan lagi. Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran terutamanya dalam aspek bacaan yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya dan dapat diatasi.
            Tujuan yang seterusnya ialah dapat dilihat daripada aspek pemilihan murid oleh guru. Pelaksanaan penafsiran formal berkaitan dengan ujian pemilihan ini dapat menentukan dan memilih murid-murid untuk memasuki sesuatu kursus atas jurusan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka terutamanya semasa tingkatan 4. Selain itu, penggerak merupakan salah satu tujuan pelaksanaan penafsiran formal di sekolah. Pelasksanaan penafsiran formal berperanan sebagai pendorong dan alat motivasi bagi murid-murid untuk meningkatkan prestasi dalam pembelajaran mereka. Seterusnya, pelaksanaan penafsiran formal ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada murid-murid. Oleh itu, dari hasil ujian yang dijalankan tersebut, murid-murid akan memberikan maklum balas tentang keberkesanan (P&P) yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah.
Tujuan pelaksanaan penafsiran formal yang seterusnya ialah untuk pensijilan. Pensijilan ialah berkaitan dengan pensijilan sijil-sijil prestasi yang akan diberikan setelah pelajar berjaya lulus ujian atau peperiksaan yang dijalankan. Selain itu juga, tujuan pelaksanaan penafsiran ini bertujuan untuk membuat pengumpulan murid-murid di dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana, hasil ujian sering digunakan untuk mengumpulkan murid-murid mengikut kebolehan dan kepintaran mereka. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa terdapat banyak sebab dan tujuan pelaksanaan penafsiran formal yang dijalankan di sekolah.

Kesimpulannya, jelaslah dapat dilihat bahawa pencapaian murid-murid dapat diukur dengan mengunakan penafsiran formal yang mengandungi penilaian formatif dan penilaian sumatif. Ia merupakan salah satu kaedah yang berkesan yang digunakan untuk menilai pencapaian murid-murid mengikut tingkatan masing-masing.



Monday, 13 May 2013

Pendekatan Holistik

Literasi bahasa ialah keupayaan seseorang murid menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu membaca, menulis, mendengar, bertutur dan berfikir. Kesemua kemahiran tersebut perlu berlaku secara serentak dan bukannya secara terpisah kerana kesemua aspek kemahiran berbahasa tersebut terbina secara bersepadu dan saling membantu antara satu sama lain. Sekiranya terdapat kekurangan pada salah satu aspek kemahiran tersebut akan memberikan kesan kepada aspek kemahiran yang lain, (Mahzan Arshad, 2003).

      Dahulu Kanak-kanak diajar menghafal huruf sehingga menguasai bacaan suku kata yang terdapat dalam bahasa Melayu tetapi menggunakan pendekatan  holistik kanak-kanak didedahkan dengan pengalaman membaca dan menulis yang sebenar secara bersepadu terlebih dahulu sebelum mengajar mereka membaca. 

     Seterusnya penguasaian bacaan hanya tertumpu pada tahap mengenal huruf sahaja walau bagaimanapun pendekatan holistik memberi peluang kepada mereka menyalurkan apa yang terkandung dalam pemikiran mereka dengan cara menulis. Contohnya pengajaran seperti guru mengunakan buku cerita Puteri Gunung Ledang selepas itu pelajar terlibat secara langsung mendengar bacaan buku tersebut. 

    Selepas itu, guru meminta pelajar membuat penaakulan, memberikan pendapat, berbincang secara berkumpulan dan menulis pendapat mereka. Kanak-kanak ditekankan belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajar kemahiran menulis. Contohnya pengajaran seperti meminta pelajar menyebut huruf-huruf yang terdapat di carta huruf atau kad-kad imbas. Oleh itu, guru akan menyoal pelajar menggunakan kad-kad imbas tersebut.



      Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di sekolah percaya kanak-kanak perlu belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajar kemahiran menulis walhal kelewatan mendedah pelajar kepada pengalaman membaca dan menulis akan membantutkan dalam mengausai kemahiran tersebut. Semakin banyak pelajar didedahkan dengan pengalaman bahasa semakin luas pemikiran pengetahuan pelajar mengenai kemahiran berbahasa. Menurut Adenan Ayob et al. (2011), murid-murid akan lebih memahami mesej yang ingin disampaikan sekiranya mempunyai pengalaman bahasa sedia ada tentang sesuatu perkara tersebut.

Saturday, 11 May 2013

Kebaikan Membaca

 Isu-isu yang berkaitan dengan tabiat membaca kerap dibincangkan dalam televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana tabiat membaca di kalangan masyarakat masih  lagi rendah. Terdapat beberapa kebaikan mengamalkan tabiat membaca.

1.       Menambahkan Pengetahuan 

Antara kebaikan membaca ialah kita dapat menambahkan pengetahuan. Bahan-bahan yang boleh kit abaca untuk menambahkan pengetahuan ialah buku, majalah dan surat khabar. Pengetahuan yang kita peroleh daripada pembacaan boleh digunakan untuk menjalani kehidupan seharian. Sebagai contoh, pengetahuan kita tentang pemakanan seimbang membolehkan kita mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup yang sihat agar tubuh kita akan menjadi sihat.

2.        Mengisi Masa Dengan Berfaedah

Selain itu, membaca juga membolehkan kita mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Setiap orang memiliki masa lapang pada setiap hari. Jika kita tidak menggunakan masa lapang yang kita miliki dengan baik, kita akan rugi. Oleh itu, ibu bapa perlu mendorong anak untuk membaca apabila ada masa lapang dan sebaik-baiknya ibu perlu membaca bersama  anak-anak.

3.        Mencerdaskan Minda

Kebaikan lain aktiviti membaca ialah dapat mencerdaskan minda kita. Melalui pembacaan, minda akan memproses maklumat yang dibaca dan  dapat mengingat apa yang dibaca dalam jangka masa yang lama. Rangsangan pada minda ini juga akan mencerdaskan minda kita. Minda yang cerdas akan dapat mengeluarkan idea-idea baru dan dapat berfikir dengan lebih kreatif dan kritis.

4.        Lulus Dalam Peperiksaan Cemerlang

Di samping itu, dengan membaca juga membolehkan seseorang pelajar lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang. Terdapat beberapa mata pelajaran yang memerlukan pelajar banyak membaca seperti mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Malaysia. Dengan banyak membaca, pelajar akan dapat mengingati dan memahami sesuatu topic atau tajuk dengan baik. Pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

5.       Memupuk Nilai-Nilai Murni

Kebaikan membaca seterusnya ialah kita dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni ini terpupuk dalam diri secara tidak langsung atau secara tidak langsung. Nilai-nilai murni yang akan terpupuk dalam diri ialah nilai menghargai masa dan kerajinan. Sikap rajin membaca ini juga akan menjadi contoh kepada orang lain dan secara tidak langsung dapat merangsang orang lain untuk turut sama mengamalkan budaya membaca.

        kesimpulannya, terdapat beberapa kebaikan yang akan kita peroleh daripada sikap rajin membaca. Sesungguhnya, yang rajin membaca bukan sahaja akan menjadi orang yang pandai tetapi juga akan mendapat pekerjaan yang baik. Pada pendapat saya, pihak kerajaan wajar mengadakan kempen membaca dengan lebih agresif lagi bagi menggalakkan lebih ramai rakyat membaca. Rakyat yang rajin membaca pasti akan dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju dan terbilang.

Friday, 10 May 2013

Pendekatan dalam Mengajar Bahasa

Pendekatan dalam pengajaran membaca adalah sangat penting. Hal ini kerana dapat menarik minat pembaca untuk terus membaca. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk memupuk minat pelajar dalam membaca. 


Pendekatan binaan merupakan salah satu pendekatan dalam pengajaran membaca. Pengajaran pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita. Hal ini bermaksud pelajar mula didedahkan dengan huruf kemudian suku kata dan seterusnya perkataan. Perkataan-perkataan ini mesti dibentuk dalam ayat dengan perkataan-perkataan lain yang telah diketahui oleh murid. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah abjad yang sering digunakan dalam pengajaran membaca di sekolah-sekolah rendah.

Selain itu, pendekatan cerakinan juga sesuai digunakan. Pendekatan ini dikenali sebagai pendekatan analisis. Pendekatan ini didahulukan dengan unsur-unsur yang besar kemudian, unsur-unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang lebih kecil yang akan membentuk struktur unsur yang besar tersebut. Pendekatan ini merupakan kebalikan daripada pendekatan binaan. Mula-mula, pelajar diperkenalkan dengan ayat kemudian, ayat dipecahkan kepada perkataan-perkataan dan daripada perkataan tersebut dipecahkan kepada suku kata dan huruf-huruf.

Pendekatan seterusnya ialah pendekatan eklektik ataupun dikenali sebagai pendekatan campuran. Ia merupakan gabungan daripada pendekatan binaan dan pendekatan cerakinan. Hal ini bermaksud, pendekatan ini hanya mengambil ciri-ciri yang terbaik daripada kedua-dua pendekatan tersebut. Kemudian, disesuaikan dengan kebolehan murid, situasi bilik darjah, bahan pengajaran dan sebagainya. Namun, pendekatan ini mesti dijalankan dengan sistematik bagi mejamin keberkesanannya. Pendekatan ini mempertimbangkan sifat-sifat ejaan fonemik bahasa Melayu, struktur suku kata, tatabahasa, sistem sebutan dan sebagainya agar pengajaran yang dilakukan berkesan.

Kesimpulannya, pendekatan pengajaran membaca adalah sangat penting bagi menarik minat pelajar dan mendapat input yang berkesan hasil daripada proses pembacaan. Kemahiran  tersebut merupakan satu kelebihan kepada mereka.