Tuesday, 14 May 2013

Penafsiran Formal (Kerja Berpasangan)




1.0              Pengenalan
Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah dapat diukur dengan melihat kepada pencapaian yang diperolehi oleh murid-muird. Oleh itu, pencapaian dapat diukur dengan pelaksanaan penilaian dan penafsiran terhadap murid-murid oleh guru. Menurut Stufflebeam et al. (1971), penilaian ialah the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives. Selain itu, Terry D. Tenbrink (1974: 8) pula menyatakan bahawa penilaian adalah satu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan yang seterusnya digunakan dalam membuat keputusan. Oleh itu, pertimbangan menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan kurikulum. Melalui semua pendapat yang telah dikemukakan tersebut, dapat dirumuskan bahawa penilaian merupakan satu proses memperolehi maklumat kuantitatif bagi menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai pencapaian murid-murid.
Penaksiran pula merupakan satu proses mentaksir perubahan tingkah laku berdasarkan data kuantitatif dan kualitatif. Terdapat juga pendapat yang mengatakan penafsiran sebagai satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Lazimnya, seseorang guru yang membuat pentaksiran tentang pencapaian murid adalah untuk tujuan pemulihan dan penggredan setiap pelajar. Pemulihan dan penggredan setiap pelajar merangkumi aktiviti mengumpul, merekod, memberi skor, menginterpretasi, menghurai maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan. Hal ini demikian kerana, tahap pencapaian bagi setiap murid adalah berbeza antara satu sama lain. Kebiasaannya, alat pengukuran yang digunakan oleh guru terdiri daripada pelaksanaan ujian, soal selidik, senarai semak, inventori dan membuat keputusan. Oleh itu, pentaksiran boleh dijalankan sebelum, semasa dan selepas pengajaran kepada murid-murid.
Penafsiran formal sememangnya merupakan salah satu penilaian dan penafsiran yang digunakan untuk menilai tahap pencapaian seseorang murid. Penafsiran formal terbahagi kepada dua bahagian, iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Kedua-dua penilaian tersebut boleh digunakan di sekolah bagi menentukan tahap pencapaian seseorang murid dengan (P&P) yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Oleh itu terdapat juga beberapa sebab pengunaan penilaian dan penafsiran di sekolah terutamanya berkaitan dengan membaca dalam kalangan murid.

2.0       Penafsiran Formal
Menurut Hanna Gerald S dan Dettmer Peggy A (2004), penafsiran secara formal ialah penafsiran yang dilaksanakan secara formal atau rasmi. Kebiasaannya, penafsiran formal melibatkan suatu prosedur atau tatacara yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh semua calon iaitu murid-murid. Penafsiran formal juga merupakan penilaian yang dirancang atau dibina berasaskan peraturan atau tatacara yang telah ditetapkan. Malahan setiap kurikulum yang menjadi dasar kursus akan diteliti serta dikaji terlebih dahulu untuk menentukan apakah jenis, bentuk dan bagaimana setiap penilaian akan dilaksanakan terhadap murid-murid di sekolah. Oleh itu terdapat dua jenis penafsiran secara formal di sekolah antaranya adalah seperti berikut:
2.1                   Penilaian Formatif
Menurut Ee Ah Meng (1998), penilaian formatif ialah penilaian yang melibatkan penggunaan ujian untuk mengukur kemajuan murid-murid setelah mereka mencapai hasil pembelajaran tentang sesuatu unit pembelajaran atau satu bab dalam bab pembelajaran yang berkaitan. Antara contoh penilaian yang berbentuk penilaian formatif ialah Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dikuatkuasakan di setiap sekolah agar dilaksanakan mulai tahun ini.
Ciri-ciri penilaian formatif ialah menjalankan ujian untuk melihat pencapaian murid dalam sesuatu bab belajaran mengikut tingkatan masing-masing. Oleh itu, ujian sedemikian bersifat formatif kerana ada unsur pembentukan semula selepas pelaksanaan sesuatu ujian yang telah dijalankan oleh guru kepada murid-murid. Hasil yang diperolehi daripada ujian yang dijalankan akan digunakan untuk memperbaiki pembelajaran dan bukan untuk memberi gred setiap murid. Jelas dapat dilihat bahawa objektif utama adalah untuk mengesan kejayaan dan kegagalan bagi setiap murid sahaja. Oleh itu, bagi meningkatkan pencapaian setiap murid, penilaian tersebut akan dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Oleh itu, guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya. Guru juga boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.

            2.2       Penilaian Sumatif
Menurut Ea Ah Meng (1998), penilaian sumatif ialah penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu kursus atau tahun. Oleh itu, penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir tahun atau pada akhir semester. Penilaian ini yang akan memberikan nilai yang dapat membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan untuk jurusan yang akan diambil apabila memasuki tingkatan 4. Oleh hal demikian, penilaian sumatif merupakan penilaian secara berpusat, iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM biasanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Keputusan penilaian pula akan secara berpusat yang dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara. Oleh itu, objektif pelaksanaan penilaian di Sekolah (Formatif dan Sumatif) ialah untuk mengesan perkembangan murid secara menyeluruh. Selain itu, pelaksanaan penilaian ini juga dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran lebih awal dari semasa ke semasa selain daripada mengetahui keberkesanan pengajaran guru. Berdasarkan kepada keputusan yang diperolehi murid-murid tersebut guru boleh merancang dan mengubah suai pengajaran dan menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta.
Lazimnya, proses pengukuhan, pemulihan, dan pengayaan akan dilaksanakan selepas proses penilaian dilakukan terhadap murid-murid. Jelaslah dapat dilihat bahawa proses penilaian ini penting untuk mengesan pengarahan dan pembelajaran sama ada berjaya ataupun tidak. Oleh itu, suatu penilaian akan dibuat pada akhir sesi pengajaran manakala isi kandungan pula akan menentukan langkah yang bagaimana dan corak pengajaran yang ingin diajarkan dalam bilik darjah. Hasil pembelajaran akan ditentukan bagi persediaan perancangan pengajaran oleh guru-guru. Maka, kepentingan penilaian dalam sistem pengajaran akan terancang secara bersepadu. Perancangan pengajaran merangkumi penentuan objektif pembelajaran, hasil pembelajaran penilaian dan pembikinan penentuan isi kandungan, penentuan kaedah dan teknik proses pengajaran. Oleh itu, dapat dilihat hubungan penilaian dalam teknik pengajaran bersistematik prosesnya.


3.0              Tujuan Pelaksanaan Penafsiran Formal
Pelaksanaan penafsiran formal telah lama dilaksanakan di sekolah di Malaysia. Hal ini demikian kerana bagi menilai prestasi murid-murid dari masa ke masa. Oleh itu, terdapat beberapa sebab dan tujuan pelaksanaan tersebut antaranya adalah bagi menentukan setakat mana pencapaian seseorang murid secara dignostik. Ujian diagnostik dijalankan bagi menentukan punca masalah pembelajaran murid-murid terutamanya berkaitan dengan membaca. Sekiranya guru melaksanakan ujian diagnostik terhadap murid-murid dapatlah guru-guru menentukan strategi pengajaran pemulihan yang perlu digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Selain itu, tujuan pelaksanaan penafsiran formal juga dapat menempatkan murid-murid di sekolah. Hal ini demikian kerana, penafsiran tersebut dapat menjalankan ujian penempatan untuk menentukan kemahiran dan penguasaan sedia ada pada pelajar sebelum pengajaran bermula. Oleh itu, guru-guru dapat menentukan aras bahan pelajaran yang sesuai untuk digunakan semasa (P&P) di dalam bilik darjah.
Selain daripada itu semua, penilaian juga akan membantu memotivasikan murid untuk terus belajar untuk mencapai kejayaan yang mereka hendaki. Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam penilaian sumatif dan penilaian di peringkat pusat, iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM. Selain itu, daripada pelaksanaan penafsiran formal tersebut juga murid dapat meningkatkan aspek kognitif (pemikiran), afektif (perasaan) dan tingkah laku moral dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, bagi murid yang telah mempunyai kekuatan untuk menguasai sesuatu nilai dan tindakan secara bermoral mereka dapat diperkukuhkan dan diperkayakan lagi. Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran terutamanya dalam aspek bacaan yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya dan dapat diatasi.
            Tujuan yang seterusnya ialah dapat dilihat daripada aspek pemilihan murid oleh guru. Pelaksanaan penafsiran formal berkaitan dengan ujian pemilihan ini dapat menentukan dan memilih murid-murid untuk memasuki sesuatu kursus atas jurusan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka terutamanya semasa tingkatan 4. Selain itu, penggerak merupakan salah satu tujuan pelaksanaan penafsiran formal di sekolah. Pelasksanaan penafsiran formal berperanan sebagai pendorong dan alat motivasi bagi murid-murid untuk meningkatkan prestasi dalam pembelajaran mereka. Seterusnya, pelaksanaan penafsiran formal ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada murid-murid. Oleh itu, dari hasil ujian yang dijalankan tersebut, murid-murid akan memberikan maklum balas tentang keberkesanan (P&P) yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah.
Tujuan pelaksanaan penafsiran formal yang seterusnya ialah untuk pensijilan. Pensijilan ialah berkaitan dengan pensijilan sijil-sijil prestasi yang akan diberikan setelah pelajar berjaya lulus ujian atau peperiksaan yang dijalankan. Selain itu juga, tujuan pelaksanaan penafsiran ini bertujuan untuk membuat pengumpulan murid-murid di dalam bilik darjah. Hal ini demikian kerana, hasil ujian sering digunakan untuk mengumpulkan murid-murid mengikut kebolehan dan kepintaran mereka. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa terdapat banyak sebab dan tujuan pelaksanaan penafsiran formal yang dijalankan di sekolah.

Kesimpulannya, jelaslah dapat dilihat bahawa pencapaian murid-murid dapat diukur dengan mengunakan penafsiran formal yang mengandungi penilaian formatif dan penilaian sumatif. Ia merupakan salah satu kaedah yang berkesan yang digunakan untuk menilai pencapaian murid-murid mengikut tingkatan masing-masing.



Monday, 13 May 2013

Pendekatan Holistik

Literasi bahasa ialah keupayaan seseorang murid menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa iaitu membaca, menulis, mendengar, bertutur dan berfikir. Kesemua kemahiran tersebut perlu berlaku secara serentak dan bukannya secara terpisah kerana kesemua aspek kemahiran berbahasa tersebut terbina secara bersepadu dan saling membantu antara satu sama lain. Sekiranya terdapat kekurangan pada salah satu aspek kemahiran tersebut akan memberikan kesan kepada aspek kemahiran yang lain, (Mahzan Arshad, 2003).

      Dahulu Kanak-kanak diajar menghafal huruf sehingga menguasai bacaan suku kata yang terdapat dalam bahasa Melayu tetapi menggunakan pendekatan  holistik kanak-kanak didedahkan dengan pengalaman membaca dan menulis yang sebenar secara bersepadu terlebih dahulu sebelum mengajar mereka membaca. 

     Seterusnya penguasaian bacaan hanya tertumpu pada tahap mengenal huruf sahaja walau bagaimanapun pendekatan holistik memberi peluang kepada mereka menyalurkan apa yang terkandung dalam pemikiran mereka dengan cara menulis. Contohnya pengajaran seperti guru mengunakan buku cerita Puteri Gunung Ledang selepas itu pelajar terlibat secara langsung mendengar bacaan buku tersebut. 

    Selepas itu, guru meminta pelajar membuat penaakulan, memberikan pendapat, berbincang secara berkumpulan dan menulis pendapat mereka. Kanak-kanak ditekankan belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajar kemahiran menulis. Contohnya pengajaran seperti meminta pelajar menyebut huruf-huruf yang terdapat di carta huruf atau kad-kad imbas. Oleh itu, guru akan menyoal pelajar menggunakan kad-kad imbas tersebut.



      Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di sekolah percaya kanak-kanak perlu belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajar kemahiran menulis walhal kelewatan mendedah pelajar kepada pengalaman membaca dan menulis akan membantutkan dalam mengausai kemahiran tersebut. Semakin banyak pelajar didedahkan dengan pengalaman bahasa semakin luas pemikiran pengetahuan pelajar mengenai kemahiran berbahasa. Menurut Adenan Ayob et al. (2011), murid-murid akan lebih memahami mesej yang ingin disampaikan sekiranya mempunyai pengalaman bahasa sedia ada tentang sesuatu perkara tersebut.

Saturday, 11 May 2013

Kebaikan Membaca

 Isu-isu yang berkaitan dengan tabiat membaca kerap dibincangkan dalam televisyen dan surat khabar. Hal ini kerana tabiat membaca di kalangan masyarakat masih  lagi rendah. Terdapat beberapa kebaikan mengamalkan tabiat membaca.

1.       Menambahkan Pengetahuan 

Antara kebaikan membaca ialah kita dapat menambahkan pengetahuan. Bahan-bahan yang boleh kit abaca untuk menambahkan pengetahuan ialah buku, majalah dan surat khabar. Pengetahuan yang kita peroleh daripada pembacaan boleh digunakan untuk menjalani kehidupan seharian. Sebagai contoh, pengetahuan kita tentang pemakanan seimbang membolehkan kita mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup yang sihat agar tubuh kita akan menjadi sihat.

2.        Mengisi Masa Dengan Berfaedah

Selain itu, membaca juga membolehkan kita mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Setiap orang memiliki masa lapang pada setiap hari. Jika kita tidak menggunakan masa lapang yang kita miliki dengan baik, kita akan rugi. Oleh itu, ibu bapa perlu mendorong anak untuk membaca apabila ada masa lapang dan sebaik-baiknya ibu perlu membaca bersama  anak-anak.

3.        Mencerdaskan Minda

Kebaikan lain aktiviti membaca ialah dapat mencerdaskan minda kita. Melalui pembacaan, minda akan memproses maklumat yang dibaca dan  dapat mengingat apa yang dibaca dalam jangka masa yang lama. Rangsangan pada minda ini juga akan mencerdaskan minda kita. Minda yang cerdas akan dapat mengeluarkan idea-idea baru dan dapat berfikir dengan lebih kreatif dan kritis.

4.        Lulus Dalam Peperiksaan Cemerlang

Di samping itu, dengan membaca juga membolehkan seseorang pelajar lulus dalam peperiksaan dengan cemerlang. Terdapat beberapa mata pelajaran yang memerlukan pelajar banyak membaca seperti mata pelajaran Sejarah, Geografi dan Bahasa Malaysia. Dengan banyak membaca, pelajar akan dapat mengingati dan memahami sesuatu topic atau tajuk dengan baik. Pelajar yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

5.       Memupuk Nilai-Nilai Murni

Kebaikan membaca seterusnya ialah kita dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Nilai-nilai murni ini terpupuk dalam diri secara tidak langsung atau secara tidak langsung. Nilai-nilai murni yang akan terpupuk dalam diri ialah nilai menghargai masa dan kerajinan. Sikap rajin membaca ini juga akan menjadi contoh kepada orang lain dan secara tidak langsung dapat merangsang orang lain untuk turut sama mengamalkan budaya membaca.

        kesimpulannya, terdapat beberapa kebaikan yang akan kita peroleh daripada sikap rajin membaca. Sesungguhnya, yang rajin membaca bukan sahaja akan menjadi orang yang pandai tetapi juga akan mendapat pekerjaan yang baik. Pada pendapat saya, pihak kerajaan wajar mengadakan kempen membaca dengan lebih agresif lagi bagi menggalakkan lebih ramai rakyat membaca. Rakyat yang rajin membaca pasti akan dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju dan terbilang.

Friday, 10 May 2013

Pendekatan dalam Mengajar Bahasa

Pendekatan dalam pengajaran membaca adalah sangat penting. Hal ini kerana dapat menarik minat pembaca untuk terus membaca. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan untuk memupuk minat pelajar dalam membaca. 


Pendekatan binaan merupakan salah satu pendekatan dalam pengajaran membaca. Pengajaran pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita. Hal ini bermaksud pelajar mula didedahkan dengan huruf kemudian suku kata dan seterusnya perkataan. Perkataan-perkataan ini mesti dibentuk dalam ayat dengan perkataan-perkataan lain yang telah diketahui oleh murid. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah abjad yang sering digunakan dalam pengajaran membaca di sekolah-sekolah rendah.

Selain itu, pendekatan cerakinan juga sesuai digunakan. Pendekatan ini dikenali sebagai pendekatan analisis. Pendekatan ini didahulukan dengan unsur-unsur yang besar kemudian, unsur-unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang lebih kecil yang akan membentuk struktur unsur yang besar tersebut. Pendekatan ini merupakan kebalikan daripada pendekatan binaan. Mula-mula, pelajar diperkenalkan dengan ayat kemudian, ayat dipecahkan kepada perkataan-perkataan dan daripada perkataan tersebut dipecahkan kepada suku kata dan huruf-huruf.

Pendekatan seterusnya ialah pendekatan eklektik ataupun dikenali sebagai pendekatan campuran. Ia merupakan gabungan daripada pendekatan binaan dan pendekatan cerakinan. Hal ini bermaksud, pendekatan ini hanya mengambil ciri-ciri yang terbaik daripada kedua-dua pendekatan tersebut. Kemudian, disesuaikan dengan kebolehan murid, situasi bilik darjah, bahan pengajaran dan sebagainya. Namun, pendekatan ini mesti dijalankan dengan sistematik bagi mejamin keberkesanannya. Pendekatan ini mempertimbangkan sifat-sifat ejaan fonemik bahasa Melayu, struktur suku kata, tatabahasa, sistem sebutan dan sebagainya agar pengajaran yang dilakukan berkesan.

Kesimpulannya, pendekatan pengajaran membaca adalah sangat penting bagi menarik minat pelajar dan mendapat input yang berkesan hasil daripada proses pembacaan. Kemahiran  tersebut merupakan satu kelebihan kepada mereka. 

Sunday, 14 April 2013


Pemilihan bahan bacaan

Pengenalan
Menurut Atan Long (1976) membaca adalah proses menterjemahkan bentuk penulisan kepada bacaan atau mendapatkan makna daripada bahan bertulis itu. Hal ini memberi makna bahawa, tanpa memahami apa-apa yang dibaca oleh seseorang itu, ia belum dianggap mahir membaca. Menurut Dr. Koh Boh Boon, membaca dapat membantu perkembangan kognitif dan afektif seseorang dan murid perlu menguasai kemahiran membaca bagi membolehkan mereka untuk berkomunikasi. Justeru, aktiviti pemulihan membaca perlu dilakukan terhadap murid yang tidak dapat menguasai kemahiran ini.

a) Faktor-faktor ketidak bolehan membaca.
Seseorang murid itu, tidak dikategorikan sebagai tidak pandai membaca disebabkan oleh kelemahan dalam diri sendiri, tetapi terdapat juga faktor lain yang menjadi penyebab kepada berlakunya ketidak bolehan seseorang murid untuk membaca. Terdapat dua faktor yang menyebabkan seseorang murid itu tidak dapat membaca:

i) Faktor yang ada pada murid itu sendiri (pembaca)
Faktor-faktor yang tergolong dalam bahagian ini adalah seperti kecerdasan berbahasa, kebolehan berbahasa, pengetahuan, dan pengalaman sedia ada. Berdasarkan faktor-faktor berikut berkemungkinan, murid itu sudah mempunyai kebolehan berbahasa tetapi tidak terlalu baik dan ianya memberi kesan kepada murid itu sendiri.

ii) Faktor yang ada pada bahan bacaan.
Faktor-faktor yang tergolong dalam bahagian ini pula meliputi perbendaharaan kata, panjang pendek ayat, kandungan bahan, struktur cerita, penggunaan dan organisasi bahan grafik. Dalam faktor ini pula, kelemahan dilihat bukan pada murid tetapi kekurangan yang wujud pada bahan yang ingin dibaca.

b) Antara kriteria-kriteria penting dalam pemilihan bahan bacaan
i)  Bersesuaian dengan aras bahasa murid
Dalam memilih bahan bacaan, ianya perlulah menepati lingkungan dan kesesuaian dari segi laras dan aras bahasanya mengikut keperluan dan tahap seseorang murid. Bahan bacaan tersebut, tidak menggunakan istilah yang boleh menimbulkan isu sensitif. Penggunaan bahasa yang kesat dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia. Misalnya, penggunaan perkataan mudah bagi mata pelajaran Sains iaitu fotosintesis dengan tumbuhan membuat makanannya sendiri bagi murid darjah dua.

ii)  Kandungannya dapat menyokong matlamat dan objektif
Pemilihan bahan bacaan juga seharusnya mempunyai kandungan atau isi yang boleh mengajar murid-murid serta menyokong matlamat pengajaran dan pembelajaran (pnp). Selain itu, maklumat atau fakta yang dipersembahkan hendaklah betul dan tepat. Bahan bacaan tersebut juga tidak mengandungi unsur sensitif, provokatif dari segi agama, kaum dan jantina. Unsur yang mencerminkan fahaman, dan amalan yang tidak sesuai dengan agama dan budaya masyarakat Malaysia juga perlu dielakkan dalam memilih bahan bacaan.

iii)  Penggunaan illustrasi
Illustrasi merupakan salah satu cara untuk menarik minat murid untuk membaca. Illustrasi yang digunakan hendaklah menyokong dan menerangkan teks bagi membantu meningkatkan kefahaman murid. Illustrasi yang menggambarkan unsur lucah, aktiviti yang tidak selari dengan budaya masyarakat Malaysia dan yang gambar yang dapat mempengaruhi murid kepada aktiviti yang kurang sihat perlu dielakkan.

iv) Penggunaan perbendaharaan kata yang baik
Perbendaharaan kata adalah faktor yang paling penting dalam menentukan tahap kesukaran bahan bacaan. Bagaimana sesuatu teks itu diukur kesukaran teksnya ialah berdasar dua cara iaitu dengan mengukur panjang perkataan dan kekerapan perkataan. Panjang perkataan dikira dengan cara mengira suku kata atau jumlah huruf dalam perkataan tersebut. Manakala kekerapan perkataan dikira dengan cara melihat berapa kerap sesuatu perkataan digunakan. Perkataan yang panjang selalunya ialah perkataan yang jarang digunakan manakalah perkataan yang kerap digunakan merupakan perkataan yang mudah kerana boleh lebih pantas dikenali dan difahami.

v) Pemilihan ayat
Pemahaman terhadap kandungan sesuatu petikan akan menjadi sukar apabila struktur ayatnya kompleks. Dalam penyataan Harisson (1980: 23), beliau menyatakan bahawa kesukaran ayat boleh dikategorikan kepada lima iaitu:
            i. Kata kerja berbanding kata kerja pasif,
            ii. Proses membentuk kata nama,
            iii. Kata kerja bantu,
            iv. Bilangan klausa dalam ayat; dan
            v. Pemahaman dan pengantian.
Kajian telah menunjukkan penggunaan perkataan penerangan yang berlebihan seperti perkataan lebih suka, lebih kurang, sedikit, dan beberapa menyebabkan kefahaman teks menurun. Sama juga penggunaan perkataan kemungkinan seperti mungkin, selalunya, boleh jadi dan kadang kala menyebabkan kekaburan dan ketidakjelasan teks yang dibaca.

vi) Pemilihan dari segi  susunan teks
Dalam kriteria ini, ianya melibatkan bagaimana sesuatu teks dipersembahkan. Susunan teks ini mengambil kira perkara-perkara seperti perenggan, tajuk-tajuk kecil, penggunaan perkataan yang digarisi, dicondongkan dan yang ditebalkan. Perkara-perkara tersebut digunakan untuk menjadikan sesebuah teks itu lebih mudah difahami. Namun demikian kesahihan perkara ini tidak dapat dipastikan kerana kajian menunjukkan terdapat pelbagai dapatan yang menyokong dan menolak kesahihannya.

Friday, 5 April 2013

Masalah Dalam Membaca

Faktor Dalaman




Faktor Luaran





Masalah dalam Membaca
           

    Membaca adalah aktiviti yang penting dalam kehidupan manusia dan kemahiran ini merupakan asas pembentukan diri ke arah mendapatkan ilmu pengetahuan. Proses membaca yang kompleks ini bergantung kepada komponen membaca perkataan tunggal dan komponen pemahaman (Yahya Othman, 2003). Masalah paling utama yang dihadapi oleh seseorang yang sedang mula membaca adalah masalah dalam komponen membaca perkataan secara tunggal. Kemahiran mengeja perkataan berkait rapat dengan kemahiran membaca perkataan. Hasil kajian yang lepas telah menunjukkan bahawa proses kognitif yang mendasari kedua-dua kemahiran membaca perkataan dan kemahiran mengeja adalah hampir sama. Oleh sebab perkaitan yang rapat antara kemahiran membaca perkataan tunggal dan kemahiran mengeja, maka adalah tidak hairan jika para pelajar bermasalah dalam proses bacaan mereka.

Kemahiran membaca merupakan asas untuk memahami proses pembelajaran yang lebih kompleks. Proses membaca memerlukan urutan atau rentetan yang berulang-ulang begi memastikan para pelajar dapat memahami apa yang sedang mereka bacakan serta menguasai proses bacaan tersebut. Kebiasaanya masalah dalam proses membaca ini banyak dihadapi oleh pelajar di peringkat sekolah rendah. Namun demikian, terdapat juga segelintir pelajar di sekolah menengah tidak pandai membaca. Hal ini amat membimbangkan kerana jika meraka tamat persekolahan tanpa menguasai kemahiran membaca dikuathiri mereka menghadapi kesukaran dalam persaingan hidup dan untuk mendapatkan pekerjaan. Permasalahan dalam proses pembelajaran ini membabitkan pelbagai faktor antaranya ialah faktor dalaman dan faktor luaran yang saling berkaitan. Pelbagai faktor yang telah menyebabkan timbulnya masalah kesukaran untuk para pelajar membaca. Antaranya ialah faktor dalaman yang menyumbang kepada masalah ini.


FAKTOR DALAMAN

Faktor individu.
Bagi menentukan masalah dalaman pelajar yang sukar untuk membaca, kemahiran kognitif para pelajar juga perlu untuk diambil kira. Hal ini adalah kerana, setiap pelajar mempunyai kemahiran kognitif yang berbeza-beza walaupun umur mereka sebaya. Oleh sebab itu, kegagalan proses pembelajaran untuk mengajar mereka cara membaca juga mempunyai hubung-kait dengan kemahiran kognitif setiap pelajar tersebut. Cara pembelajaran antara seorang kanak-kanak dengan seorang remaja juga berbeza. Pemikiran seorang remaja telah kompleks dan mampu untuk menerima banyak ilmu dalam satu-satu masa berbeza dengan cara pemikiran seorang kanak-kanak yang lebih terhad dan hanya mampu untuk memahami apa yang dilihat oleh mata kasar mereka sahaja (Suppiah Nachaiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Ahukor, Ramlah Jantan, Roslinda Mustapha, Hazalizah Hamzah, 2009).

Namun demikian, masalah ketidakbolehan untuk membaca ini timbul apabila seorang pelajar itu tidak dapat untuk memahami apa yang telah diajarkan kepada mereka semenjak mereka kanak-kanak lagi sehingga meningkat dewasa dan menyebabkan masalah keciciran dalam pembacaan. Masalah ini berpunca daripada kemahiran kognitif pelajar tersebut yang lemah. Bagi mengatasi masalah ini, guru perlu memberi perhatian yang lebih kepada para pelajar yang lemah bagi mengelakkan mereka keciciran dalam pembelajaran mereka. Ketidakbolehan untuk mentafsir simbol dan huruf untuk diterjemahkan dalam ayat atau perkataan secara lisan.

Menurut Abdul Rasid dan Zulkafli (2008), masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis menjadikan murid lemah dan tidak berminat dalam proses pembelajaran adalah akibat ketidakcekapan mereka menguasainya isi pembelajaran yang telah diajar oleh guru. Permasalahan membaca yang ada dalam diri murid adalah seperti keliru mengecam huruf besar dan huruf kecil semasa membaca, tidak dapat membunyikan perkataan dengan betul dan tepat, tidak dapat menyebut perkataan yang dieja serta sering meninggalkan perkataan yang tidak ketahui makna atau gagal membunyikannya. Masalah ketidakbolehan mentafsir simbol atau huruf untuk diterjemahkan akan menimbulkan pola bacaan yang merangkak-rangkak dan pastinya menjadikan murid-murid tidak memahami maklumat dan makna bahan bacaan tersebut. Selain daripada itu, murid ini juga lemah dan tidak berminat mencari maklumat yang terdapat dalam gambarajah atau bahan rangsangan yang diberikan oleh guru. Menurut Yahya Othman (2004), membaca merupakan proses interaksi antara teks dengan imaginasi pembaca. Oleh sebab itu, pemahaman para pelajar mengenai teks dan gambarajah yang dilihat oleh mereka mampu untuk menarik minat mereka membaca tetapi jika mereka tidak dapat memehami apa yang dibaca oleh mereka akan menimbulkan rasa bosan mereka untuk terus membaca.

Faktor psikologi
Tahap kecerdasan dan psikologi yang pelbagai dalam kalangan murid disebabkan oleh faktor genetik, kecacatan fizikal murid, persekitaran dan sebagainya yang berkecenderungan menimbulkan permasalahan untuk mempelajari dan mengingati sesuatu yang diajar oleh guru. Selain daripada itu, tahap kesihatan serta gangguan emosi sering menjadi punca masalah dalam proses pembelajaran. Murid yang mewarisi tahap kecerdasan yang rendah sering memperlihatkan gangguan emosi seperti bimbang, takut, marah dan berbagai-bagai perasaan lagi yang pastinya menjejaskan tumpuan dan perhatian terhadap proses pembacaan (Zulkifley Hamid, 2006).

Minat dan motivasi sangat berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam terhadap bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami dan memahami proses pembacaannya. Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan pelajar. Sikap kurang minat membaca pada dirinya adalah berpunca daripada kegagalannya untuk menguasai kemahiran membaca dengan baik. Selain daripada itu juga, masalah kurang rangsangan daripada luar juga menyebabkan para pelajar bermasalah dalam proses membaca. Hal ini adalah kerana, kekurangan perhatian daripada guru akan menyebabkan pelajar tersebut akan keciciran dalam proses pembacaan.

Mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan.
Masalah dalaman yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembacaan juga berkait dengan masalah mudah hilang tumpuan dan lemah daya ingatan. Hal ini adalah kerana peroses pembacaan memerlukan para pelajar untuk mengigati huruf dan bunyi bagi setiap huruf-huruf tersebut. Jika mereka bermasalah untuk mengigati setiap huruf tersebut maka proses pembacaan akan menghadapi masalah seperti membaca merangkak-rangkak dan tersangkut-sangkut. Bagi mengatasi masalah pelajra yang lemah dalam proses pembacaan ini satu proses pemulihan telah dijalankan. Para pelajar yang lemah dalam bacaan mereka akan diasingkan dengan pelajar yang lebih cepat dalam membaca.

Menurut Rajesvari a/p Ramasamy (2008). beliau telah menyatakan antara permasalahan yang dihadapi oleh pelajar pemulihan ini ialah mudah lupa perkataan yang dibaca. Daya ingatan mereka sangat singkat dan cepat melupakan perkara yang telah dipelajari oleh mereka. Oleh sebab itu, mereka perlu diberi peluang membaca perkataan yang sama berulang kali dalam aktiviti latih tubi. Ramai kanak-kanak pemulihan juga mengalami masalah dalam pengamatan. Mereka kurang mahir mengecam bentuk perkataan yang dibaca. Masalah ini mungkin disebabkan mereka sukar memberi tumpuan atau perhatian.

FAKTOR LUARAN

Selain masalah dalaman, masalah luaran merupakan antara penyumbang besar kepada masalah tidak boleh membaca. Beberapa faktor yang dikenalpasti menjadi punca.

Pengajaran guru
 Menurut kajian yang dijalankan oleh Tamam Timbang, Zamri Mahamod dan Afendi Hamad yang dimuatkan dalam jurnal pendidikan bahasa Melayu 1987, menyatakan masalah pengajaran berlaku kerana guru yang mengajar membaca itu kurang pengalaman, kaedah mengajar yang kurang berkesan dan tiada keadah khusus yang berkesan untuk mengajar membaca. Guru-guru yang mengajar membaca biasanya hanya menekankan pelajar untuk mengenal huruf. Kaedah untuk mengenal suku kata selalu lambat untuk diajarkan menyebabkan pelajar mudah bosan untuk belajar membaca. Guru sebenarnya mengalami masalah untuk mengajar membaca kerana tiada satu kaedah khusus untuk mengajar seseorang pelajar untuk membaca bahkan setiap pelajar menguasai teknik membaca melalui kaedah yang berbeza. Untuk mengatasi masalah membaca ini,seseorang guru perlu mewujudkan satu suasana pembelajaran yang aktif ( Mahzan Arshad:2003 ). Seseorang guru perlu memikirkan bagaimana cara yang kondusif pembelajaran literasi dilakukan didalam kelas seperti menggunakan peta minda atau gabungan kotak.

Faktor persekitaran
Selain faktor guru tersebut, faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam melahirkan seseorang yang mempunyai kemahiran membaca. Menurut ahli sosiologi,kecerdasan bukanlah sesuatu yang diwarisi tetapi kecerdasan itu bergantung kepada faktor persekitaran  ( Abdullah Sani Yahya : 2004 ). Faktor persekitaran yang memainkan peranan penting dalam pembentukan kemahiran literasi ialah guru,ibu bapa dan juga kawan-kawan. Guru sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian pelajar terutamanya semasa berada di sekolah. Jika seseorang guru itu bijak untuk mengendalikan pelajar dalam pembelajaran membaca nescaya pelajar tersebut tentu akan mudah untuk menguasai pembacaan. Seseorang guru juga perlu memastikan seseorang pelajar itu dapat menguasai kemahiran membaca semasa di tahap pra-sekolah atau selebihnya darjah satu. Keluarga juga memainkan peranan penting.Keluarga merupakan role model utama bagi anak-anak. Ibu bapa berperanan untuk mewujudkan suasana yang merangsang pembacaan anak-anak mereka ( Yahya Othman:2004 ). Malangnya di negara kita,suasana yang merangsang pembacaan dalam kalangan anak-anak biasanya hanya berlaku dalam keluarga yang mempunyai status.

Keadaan kawan
 Keadaan kawan turut mempengaruhi pelajar dalam kemahiran membaca. Selain ibu bapa dan guru,kawan merupakan faktor yang penting dalam menentukan kebolehbacaan pelajar. Jika seseorang pelajar itu berkawan dengan kawan yang malas dan tidak tahu membaca,semestinya pelajar tersebut akan mengalami masalah membaca sebagaimana dengan kawannya. Contoh jelas dapat kita perhatikan ialah,pelajar di sekolah yang berprestij biasanya akan mudah untuk menguasai kemahiran membaca kerana persekitaran kawan yang merangsang pelajar tersebut untuk melakukan aktiviti pembacaan. Sebagai contoh lagi,sekolah orang asli mempunyai kadar buta huruf yang tinggi kerana kawan-kawan di sekolah ini kebanyakan tidak mampu untuk mengusai kemahiran literasi dengan baik.

Teks
Teks yang digunakan disekolah juga memainkan peranan untuk menarik minat pelajar untuk membaca. Jika sasaran pembaca adalah kanak-kanak,sepatutnya buku teks yang digunakan mempunyai gambar kartun yang boleh menarik minat kanak-kanak tersebut untuk membaca. Teks yang tidak mempunyai gambar sama sekali tidak akan menarik perhatian kanak-kanak untuk membaca. Teks yang menggunakan bahasa yang tinggi sehingga perlu berfikir untuk memahaminya adalah tidak sesuai untuk digunakan untuk pelajar yang baru membaca. Isi kandungan perlulah melihat kepada tahap sasaran tersebut. Melahirkan semangat ingin membaca adalah amat penting untuk seseorang pelajar mula belajar untuk  membaca.

Masa pengajaran
Selain faktor yang telah disebutkan,masa pengajaran juga memainkan peranan penting. Kebanyakan sekolah misalnya,tidak berapa menitik beratkan masalah ini sehingga menyebabkan pelajar tidak mencukupi masa untuk belajar membaca. Sepatutnya,masa untuk belajar membaca perlu ditekankan dan dilanjutkan masanya kerana jika seorang pelajar tidak mampu untuk menguasai kemahiran membaca semestinya akan mendatangkan kesan yang buruk kepada dirinya dimasa depan seperti tidak akan lulus peperiksaan sehingga boleh menjejaskan masa depan pelajar tersebut. Oleh itu,pihak sekolah terutamanya perlu melihat masa pengajaran membaca ini sebagai isu penting sehingga menyebabkan masalah membaca berlaku kepada pelajar di sekolahnya.